Setiap kali tersebut nama kakak dalam kediaman kami, abah,
mak, membisu. Tak macam dulu.
Bulan januari, semua serba tahu, hari lahir kakak. Satu
satunya kakak bagi aku dan Najib. Amirul dan Anis mungkin tak terasa, sebab
masa semua dulu terjadi, keduanya masih anak kecil yang cuma bisa bertanya, “Mana
Kak Jan?”
11 tahun dah berlalu. Entahkan dihanyut tsunami kata mak
dulu sambil berseloroh. Aku tahu dalam hati mak pilu, menutup resah dengan
tawa, dibuat buat. Abah pula sembunyi semua. Ada masa dengan bengisnya, ada
masa dengan telatah lucu. Juga aku tahu, abah sembunyi semua saat sendiri, atau
saat berdua dengan mak. Aku terdengar satu masa dulu.
Rindu.
Semuanya rindu. Usia Najib hampir mencecah 27, yang dulunya
kakak tinggalkan dia usia belasan tahun, rebellious. Kini dia juga sudah punya
isteri. Najib yang kadang kala aku lihat bengis, ada masanya juga dia jatuh
tertewas akibat rasa rindu, kerana kakak yang paling rapat dengan Najib dulu.
“Kakak, majlis kahwin Najib 2 Februari, Najib nak sangat
kakak ada masa majlis tu.”
Aku, tahun ini berusia 22. 11 tahun yang lalu aku cuma darjah
5. Boleh juga berfikir mana perginya kakak, hilang tiba-tiba. Ada masanya aku
juga tercari-cari, aku soalkan pada abah dan mak, “Kak Jan pi mana mak, abah?”
Riak wajah mereka berubah.
Aku sendiri jauh membawa diri. Dari Parit Tok Kip, sehingga
sekarang di Kota Kinabalu, masih belum dengar berita. Ada masanya bila aku
duduk sendiri aku terkenangkan hari kakak di rumah.
Abah amanahkan pada aku, “Kakak, tengokkan Kak Jan.” Aku
angguk perlahan. Aku juga tak mahu kakak jauh dari kami. Kakak pujuk aku, “Tolong
bagi aku pergi.” Aku menggeleng laju dengan air mata berjurai di pipi. “Kak Jan
nak pi mana?”
Waktu itu kami di beranda rumah, di atas. Kak Jan pujuk aku
lagi.
“Nurul, ambilkan Kak Jan air sejuk. Dahaga.” Aku tanpa syak
wasangka turun ke dapur, ambilkan air, kalau itu yang kakak mahu. Kembali aku
ke beranda, Kak Jan, dengan beg berisi pakaian yang dia cuba bawa pergi tadi,
hilang.
Aku…khianat amanah abah…
Kakak ingat Amirul? Yang dulunya waktu majlis kahwin Abang
Li, dilanggar kereta dan dengan selambanya dia masuk ke rumah, “Mak, adik kena
langgar kereta.” Usianya 18 tahun kini. Rambut panjang, biasa aku marah. Rimas.
Kakak, Amirul lebih tinggi dari aku, dari Najib. Mungkin genetik Atok Jawa dan
Atok Laki di Telok Pial pada dia. Tinggi lampai.
Kakak ingat Anis? Dulu kakak belikan Anis banyak baju, comel
comel. Aku cemburu. Pelbagai jenis fesyen, corak harimau, polka dot, gaun.
Sekarang umur Anis 17 tahun. Dia juga hampir sama besarnya dengan aku. Lebih
pandai dari kita semua.
Kakak, Anis sekarang di Pahang. MRSM TAR. Anak perempuan mak
semuanya jauh. Kakak baliklah, teman mak dirumah. Tahukah, aku dengan Anis,
sekarang tidak mustahil untuk berkongsi pakaian. Betapa dia membesar sekarang.
Yang dulunya kakak tinggalkan, cuma pandai bermain, berlari. Kecil lagi.
Mungkin jika kalian berdiri bersebelahan, orang akan sangka dia kakakmu.
Kakak ingat Yus kan. Hari perkahwinan Yus, kakak ada. Aku
simpan gambar masa majlis bertandang. Ada gambar kakak. Aku tunjuk pada mak. Mak
tersenyum pahit. Yus sekarang punya anak dua, sama Abang Li. Nur Qamarina dan
Firdaus. Pernah sesekali mereka bertanya, “Mak Lang macam mana?” Mereka
tanyakan aku tentang kakak. Aku ceritakan, kakak rendah, kecil, tahi lalat di
bibir, rambut panjang hingga pinggang. Pandai kedua mereka. Kakak belum pernah
jumpa kan?
Kakak, inilah dia, Nina dan Firdaus. Pintar, dan ada masanya sangat manja.
Dan Abang Li, Kak Yani, Alif dan Ikin. Alif masih ingat pada
kakak. Dulu kan kakak manjakan Alif. Alif juga membesar, rasanya tingkatan dua,
mungkin tiga. Anak saudara kita. Empat semuanya. Mungkin sikit masa lagi lima.
Kak Jan. Mak dan abah dah tua. Buangkan dendam, sedih, benci
dulu. Walaupun pemergian kakak disebabkan orang orang tertentu, harapnya kakak
pulih dan ingat kembali pada kami.
Tak ada yang berganjak menjauh pergi dari
terus berharap kakak kembali.
Kami yang makin dewasa, masih abang, kakak dan adikmu yang
sama kakak tinggalkan dulu. Masih sama.
Selamat ulang tahun kelahiran, Aspalila binti Ismail.
Selagi mampu kami cari, kami cari.
Selagi mampu kami tunggu, kami tunggu.
Tak ada seinci dari hati tergerak untuk berganjak pergi.
Moga Allah pelihara kita semua, dalam dakapan Dia. Temukan
kita lagi.
Juga, pulanglah sebelum mak dan abah menutup mata.
Moga Allah panjangkan jodoh kita semua ya.
Adikmu yang tomboi dan comot dahulu,
Nurul Izzany binti Ismail.
No comments:
Post a Comment